PROFIL SEKOLAH

  





LATAR BELAKANG SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa (SKSSD) terletak di Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi. Terdapat beberapa buah desa di sekitar sekolah ini. Oleh kerana hubungan yang rapat antara penduduk kelima-lima buah kampung, maka wujudlah perkataan "sekawan desa". Sempena wujudnya perkataan "sekawan desa", maka sekolah ini telah dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa.
             Sekolah ini ditubuhkan dan dibuka dengan rasminya sebagai sebuah sekolah kerajaan pada 13 Ogos 1950 (Ahad) yang bertempat di sebuah bangunan rakyat di Kampung Parit Kahar.  Majlis Perasmian sekolah ini telah dihadiri oleh Pemangku Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Johor, Pegawai Daerah Pontian, Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan penduduk kampung di sekitar sekolah ini. Kemudian sekolah ini  berpindah di sebidang tanah seluas dua hektar yang diwakafkan oleh Tuan Haji Sulaiman Bin Moin yang ketika itu beliau adalah ketua Kampung Parit Kahar.
             Jumlah murid pada hari pertama sekolah dibuka adalah seramai 58 orang dan seorang guru yang juga merupaka Guru Besar. Guru tersebut adalah Tuan Haji Arshad Bin Sulaiman. Dalam awal tahun persekolahan mendapati bahawa latar belakang sosial para pelajar sangat terhad di mana bahasa ibunda mereka ketika itu ialah bahasa Jawa. Oleh demikian, bahasa Jawa digunakan sebagai bahasa utama manakala bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kedua.
            Namun kini semua telah berubah disebabkan penyesuaian dengan arus peredaran zaman. Sekolah ini seperti sekolah-sekolah lain di Malaysia telah menjalankan sistem pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

SEJARAH SK SERI SEKAWAN DESA 
Pada peringkat awal SKSSD telah dibina di perkarangan Masjid Jamek Kampung Parit Kahar. Sekolah ini telah diasaskan oleh Tuan Haji Mustahid yang bertujuan memberikan pendidikan agama kepada penduduk kampung di sekitarnya.
            Pada Tahun 50-an sekolah ini telah dipindahkan ke simpang antara Kampung Parit Kahar dan Parit Seniman bagi memudahkan semua penduduk kampung yang berhampiran dapat mengikuti pendidikan yang dilaksanakan. Cadangan pemindahan ini telah dicadangkan oleh ketua kampung yang ketika itu ialah Tuan Haji Sulaiman Bin Moin. Cadangan tersebut telah dipersetujui oleh semua penduduk kampung.
          Mengikut perkembangan sekolah ini dari peringkat awal hingga sekarang talah mengalami banyak perubahan terutamanya dari segi struktur bangunan. Pada awal pembinaan sekolah, bangunan sekolah hanya beratapkan rumbia hasil gotong-royong penduduk kampung. Kemudian, atap rumbia telah digantikan dengan zink tetapi masih berlantaikan tanah. Beberapa tahun kemudian, sekolah ini telah mendapat peruntukan daripada kerajaan yang berupa bangunan kekal.
         Pada tahun 80-an, bangunan sekolah sekali lagi ditukar kepada bangunan tiga tingkat yang lebih kukuh, cantik dan bermutu tinggi setanding dengan sekolah lain. Pada tahun 2002, sekali lagi sekolah ini berubah wajah apabila sekolah ini telah mendapat peruntukan bangunan yang lebih canggih dan sesuai dengan era perubahan pendidikan pada masa kini.
        Dari segi penggunaan nama sekolah ini, terdapat tiga nama yang digunakan iaitu Sekolah Melayu di peringkat awal diikuti dengan nama Sekolah Rakyat dan kemudiaannya ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa. Sebelum sekolah ini ditukar nama kepada SK Seri Sekawan Desa, terdapat ura-ura untuk menamakan sekolah ini dengan nama Sekolah Seri Anom namun dibatalkan disebabkan nama tersebut merupakan nama sekolah yang berhampiran.
        Nama SK Seri Sekawan Desa adalah hasil gabungan lima buanh kampung yang terletak berhampiran yang di sekolah ini iaitu Kampung Parit Kahar, Kampung Parit Seniman, Kampung Parit Maklumi, Kampung Parit Lancang dan Kampung Parit Limin. Sekolah ini berperanan untuk menggabungkan dan menyatukan penduduk kelima-lima buah kampung tersebut dan dengan kata lain sekolah ini telah menjadi satu agen perubahan sejak dulu lagi dan hingga kini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan